About

This is a small world where I put together my ideas into a thought. A thought then written down by the 'sword' of my hands. I'm a believer of God. Hereafter, be my witness, just what have I done, within this blog.

"God, give me the strength to write".

Friday, February 24, 2012

Yang Tidak Berisi, Tidak Bisa Mengisi


Pada saya, satu gambar mampu menceritakan 1001 perkara. Gambar di atas amat-amat membuat saya termenung, terpaku, membisu dan pelbagai lagi kata yang tidak mampu diungkapkan.

Saya kini sudah menjejakkan kaki ke tahun 4 pengajian perubatan, satu jurusan yang sangat memakan masa dan tenaga yang ada. Jika pulang daripada wad, atau klinik, pasti katil menjadi pilihan. Ia kehidupan yang sangat meletihkan.

Namun pernah diimbas kembali, bahawa saya ini hidup di bumi yang bertuah, bumi yang dipenuhi dengan majlis ilmu saban hari. Pantang kalau bercuti di rumah, sempat pula dicari kuliah-kuliah, ceramah-ceramah dan sebagainya. Kalau sempat, berprogram pula dengan ikhwah-ikhwah yang ada.

Tetapi lain pula keadaan di sini. Jauh betul saya daripada majlis-majlis ilmu sebegini. Kebanyakan masa memang tercurah untuk pelajaran, dan sebahagiannya pula digunakan untuk mentelaah bahan-bahan usrah dan menghadiri program-program yang disusun saban minggu.

Namun, ianya tidak cukup.

Seperti yang dimaksudkan gambar di atas, yang tidak terisi, tidak bisa mengisi.

Pengalaman lampau mengimbau kembali apabila saya terlihat kitab-kitab bahasa Arab di surau hostel saya kini; Riyadussolihin, Fiqh Sunnah, Tafsir Ibnu Kathir dan sebagainya. Kitab-kitab ini gah tersusun disuatu sudut tanpa ada insan yang menyentuhnya. Berhabuk pula. Kitab-kitab ini dulu kitab-kitab yang saya duduk menghayati bersama para ustaz di zaman sekolah, walaupun bahasanya bahasa Arab, namun isi kandungannya difahami juga. Perkataan demi perkataan, ayat demi ayat, perenggan demi perenggan, dan muka demi muka. Sungguh tebal dengan ilmunya.

Kitab-kitab itu saya buka dan belek halamannya. Hati jadi hiba, mengenangkan betapa lama dan jauhnya saya dari tenggelam mencari, mendalami ilmu sebegini. Ada sebahagian perkataan Arab itu saya masih fahami, kebanyakannya saya tercari-cari maksudnya. Lalu saya berdoa dalam hati.

"Wahai Allah, aku merindui untuk mendalami agama yang diredhaimu. Aku tahu minat sebenarku bukan pada bidang perubatan, tetapi pada bidang keagamaan. Tetapi aku redha bahawa apa yang Engkau tetapkan bagiku dalam bidang perubatan ini, adalah sesuatu hikmah yang masih belum aku fahami. Sabda kekasihMu, barangsiapa yang Engkau kehendaki kebaikan baginya, maka Engkau akan fahamkan dia dengan agama. Justeru itu, jadikanlah aku ini dikalangan mereka yang Engkau fahamkan agamaMu."

Menghitung masa yang telah berlalu, aduh, ruginya aku.

1 comment:

  1. Insyallah sentiasa dlm berbaik sangka kepada Allah. Kadang kita hamba-Nya merancang dengan cita-cita yg ada pada diri...Namun Dia dengan penuh kasih sayang dan rahmat merancang dengan cinta-Nya buat kita...wallahualam =)

    ReplyDelete