About

This is a small world where I put together my ideas into a thought. A thought then written down by the 'sword' of my hands. I'm a believer of God. Hereafter, be my witness, just what have I done, within this blog.

"God, give me the strength to write".

Friday, February 17, 2012

Dia Muhammad Telah Pergi

Berita kewafatan Rasulullah saw segera tersebar ke seluruh kota Madinah. Orang ramai terkejut dan masing-masing tidak dapat menahan kesedihan. Mereka berebut-rebut menziarahi Rasulullah saw. Tetapi kerana terlalu ramai, mereka terpaksa mengikut giliran. Mereka menangis meratap hiba. Umar Al-Khattab juga tidak dapat menahan perasaannya. Sebaik sahaja mendengar berita itu, beliau segera keluar dari rumahnya dan berlari-lari menuju ke rumah Rasulullah saw. tetapi beliau tidak dapat masuk kerana orang terlalu ramai. Tambahan pula, hanya keluarga Muhammad saw yang dibenarkan masuk dahulu.

Umar Al-Khattab berjalan mundar-mandir. Dia terdengar mereka sedang bercakap berkenaan Rasullulah saw. Ada yang percaya, ada pula yang tidak percaya. Malah ada pula yang mengatakan selepas beliau wafat maka umat Islam akan kembali ke agama asal nenek moyang mereka.

"Orang munafik yang lemah imannya mengatakan Rasulullah saw sudah meninggal dunia. Beliau tidak wafat tetapi pergi menghadap Allah seperti yang dilakukan oleh Nabi Musa a.s. dahulu. Nabi Musa pergi meninggalkan kaumnya 40 hari 40 malam. Kemudian beliau kembali kepada kaumnya."

"Demi Allah, Nabi Muhammad saw itu pesuruh Allah, beliau pergi sebentar dan pasti kembali. Saya memberi amaran keras. Sesiapa yang berani mengatakan Nabi Muhammad saw sudah wafat, nescaya saya potong tangan dan kakinya," teriak Umar Al-Khattab sambil menghunus pedangnya.

Melihat kelakuan Umar Al-Khattab yang sudah hilang pertimbangan, orang ramai semakin gelisah. Mereka tidak berani lagi bercakap mengenai kewafatan Rasulullah saw. Beberapa orang sahabat menemui Abu Bakar As-Siddiq.

"Umar Al-Khattab mengancam akan membunuh sesiapa sahaja yang mengatakan Rasulullah saw sudah wafat. Kata-katanya itu menakutkan orang ramai. Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Kita perlu melakukan sesuatu," Kata Ikramah.

Abu Bakar As-Siddiq segera menghadap orang ramai lalu berkata, "Saya akan melihat sendiri keadaan Rasulullah saw. Selepas itu saya akan memaklumkan keadaan beliau."

"Itulah yang sebaiknya. Pergilah segera masuk ke rumah Rasululla saw," kata Ikramah.

Abu Bakar As-Siddiq segera masuk ke rumah Rasulullah saw. Dilihatnya jasad Nabi Muhammad saw yang mulia itu terbaring dan seluruh tubuhnya ditutup dengan kain. Abu Bakar As-Siddiq bersimpuh di sisi jenazah Rasulullah saw lalu membuka kain yang menutup wajahnya. Abu Bakar As-Siddiq mencium dahi Nabi Muhammad saw lalu berkata, " Kepada Allah kita datang dan kepada Allah juga kita pulang. Sesungguhnya maut yang ditakdirkan Allah bagi sekalian makhluknya sudah tuan rasakan sekarang dan selepas ini tuan tidak akan merasakan kematian buat selama-lamanya."

Kemudian Abu Bakar As-Siddiq menutup semula wajah Rasulullah saw dengan kain. Beliau keluar dari rumah Aisyah. Pada masa itu, orang ramai sedang mendengar Umar Al-Khattab berucap. Sebaik sahaja mereka melihat Abu Bakar As-Siddiq, mereka mengerumuni beliau.

"Bagaimana keadaan Rasulullah saw?. Beritahu kami keadaan beliau yang sebenarnya," desak mereka.

"Wahai sahabatku Umar Al-Khattab, bertenang dan marilah berdiri di sebelah saya. Saya akan bercakap perkara yang sebenarnya dan saya tidak takut kepada sesiapa melainkan Allah," kata Abu Bakar As-Siddiq.

Umar Al-Khattab datang lalu berdiri di sebelah kanan Abu Bakar As-Siddiq. Ikramah dan Abu Ubaidah pula berdiri di belakang umar Al-Khattab dan bersedia menghadapai segala kemungkinan.

"Bertenang tuan-tuan semua. Kita dengarkan apa yang akan dikatakan oleh Abu Bakar As-Siddiq," kata Abu Ubaidah.

Orang ramai menumpukan perhatian kepada Abu Bakar As-Siddiq. Suasana yang bsising bertukar senyap. Masing-masing menumpukan perhatian kepada perkara yang hendak diucapkan oleh Abu Bakar As-Siddiq.

"Wahai kaum muslimin, barang siapa yang menyembah Muhammad, ketahuilah Muhammad sudah wafat. barang siapa yang meneymbah Allah swt, maka Allah itu hidup dan tidak akan mati," kata Abu Bakar As-Siddiq. Kemudian dia membacakan ayat suci yang bermaksud,
"Muhammad itu hanyalah seorang Rasul. Sudah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah sekiranya dia wafat atau terbunuh maka kamu berpatah balik ke belakang? Barang siapa yang berbalik ke belakang maka tidak mendatangkan apa-apa pun kerugian kepada Allah sedikit pun. Dan Allah akan memberi balasan kepada orang yang bersyukur." [Ali-Imran:144]

Umar Al-Khattab kelihatan terpegun apabila mendengar ayat-ayat suci yang dibacakan oleh Abu Bakar As-Siddiq. Jiwanya yang keras berubah lembut. Dia menyarungkan pedangnya dan berkata, "Benar apa yang dikatakan Abu Bakar As-Siddiq. Saya dikuasai perasaan marah sehingga terlupa ayat Allah itu".

Suasana menjadi hiba dengan pemergian Baginda Nabi saw. Mereka akhirnya telah kehilangan seorang Rasul, seorang pemimpin umat Islam dan juga kekasih hati mereka.

Akhirnya mereka menerima kenyataan yang Rasulullah saw sudah wafat. Beliau sudah pergi menghadap kekasih agungnya, Allah swt.

Pergi buat selama-lamanya.



P/s: Malam tadi sempat tadabbur ayat Al-Quran di atas bersama ikhwah yang lain. Sebak hati teringatkan kisah ini jadi saya nukilkan kisah yang menyayat hati ini kepada kalian semua. Moga kita semakin cinta kepada Baginda Nabi saw. Jadilah saksi saya di Akhirat kelak, bahawasanya, saya sangat-sangat mencintai Baginda saw. Mohon doa kalian dipertemukan saya dan Baginda, dan di kuatkan saya di sepanjang meniti jalan dakwah ini. Akhir sekali, mari kita bersama-sama berselawat ke atas Baginda saw. Moga-moga, Baginda saw menjadi saksi kita nanti di Akhirat dan memberikan syafaat kepada kita.

1 comment: