About

This is a small world where I put together my ideas into a thought. A thought then written down by the 'sword' of my hands. I'm a believer of God. Hereafter, be my witness, just what have I done, within this blog.

"God, give me the strength to write".

Thursday, January 12, 2012

Hierarki Cinta Dan Cita-Cita

Bercinta itu tidak salah, yang menjadi kesalahan adalah apabila kita salah meletakkan keutamaan dalam bercinta. Bercita-cita itu tidak salah, yang menjadi kesalahan itu apabila kita mengenepikan cita-cita yang terutama dan terlalu mengejar cita-cita selainnya.

Dai's Cilik Kredit

Siapa yang kamu cinta?
"Allah, rasul, ibu bapa, suami/isteri, anak-anak, saudara-mara..."
Apa cita-cita kamu?
"Hendak menjejakkan kaki ke dalam syurga.."
Soalan di atas, budak tadika pun boleh jawab. Kalau saya cikgu tadika, saya boleh bagi 5 bintang lagi pada budak-budak tersebut. Hati kanak-kanak ini bersih dan suci, jawapan yang mereka berikan juga jawapan yang ikhlas. Sebab itu orang dewasa sukakan budak-budak. Kalau tidak suka, mohon maaf la, hati anda mungkin tidak suka pada perkara yang suci.

Kalau saya lontarkan soalan di atas pada kamu semua, mungkin ramai yang hilang arah jawapannya. Mungkin zaman dahulu kala, jawapan anda sewaktu kanak-kanak adalah jawapan tipikal seperti di atas. Namun sekarang, mungkin hierarki cinta anda sudah berubah. Boleh jadi, 'pakwe', 'makwe' juga ada dalam list tersebut. Boleh jadi juga anda tersilap meletakkan cinta kepada 'pakwe', 'makwe' anda melebihi cinta kepada Ibu bapa.

Saudara-saudari sekalian, saya mahu sebutkan, perkara di atas adalah kenyataan dunia hari ini. Pendidikan hari ini tidak membina kepada jiwa-jiwa yang memikirkan perkara ukhrawi (baca: perkara keakhiratan). Pendidikan hari ini membina manusia yang melihat dunia ini lebih daripada segala-galanya.

Syurga itu bukan lagi cita-cita terutama kita. Yang diterjemahkan menjadi cita-cita sebaik melangkah ke alam persekolahan darjah satu adalah pekerjaan di masa hadapan. Ini perkara yang baik untuk membina minda kanak-kanak melihat 20 tahun ke hadapan. Tetapi kenapa limitasinya kepada 20 tahun ke hadapan sahaja?.  Menurut Ibnu Qayyim, bau aroma syurga itu boleh dicium dengan jarak 100 tahun. Justeru, syurga itu lebih jauh lagi ke hadapan!.

Kekal Selamanya
Nabi saw bersabda; "Penghuni syurga akan memasuki syurga dan penghuni neraka akan memasuki neraka, kemudian penyeru berdiri di antara mereka dan berkata, Wahai penghuni syurga, sekarang tidak ada lagi kematian. Wahai penghuni neraka, sekarang tidak ada lagi kematian. Semuanya kekal abadi di tempat masing-masing." (HR Bukhari & Muslim)
Nah, kalau di humban kita ke dalam neraka, dan jika selama-lamanya kita di dalamnya menurut perhitungan Allah swt, akan menyesal kita tidak berkesudahan. Sebab kita bercita-cita hanya untuk menjadi doktor, engineer, guru, polis, bomba dan sebagainya. Mana ada kita impikan untuk menggapai syurga. Kita usahakan dunia, sampai kita lupa usaha untuk menggapai syurga.

Bagi orang kafir, mereka meminta-minta kepada Allah, agar dikembalikan mereka ke dunia (dihidupkan semula) untuk berbuat kebaikan.
(Demikianlah keadaan orang kafir itu), hingga apabila kematian datang kepada seseorang daripada mereka, dia berkata: "Ya Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia) agar aku dapat berbuat amal soleh terhadap yang telah aku tinggalkan." (QS Al-Mukminuun :99)
Menurut Ibnu Mas'ud dalam Tafsir Ibnu Katsir, Allah tidak memperkenankan permintaan mereka, kerana sekiranya dikembalikan mereka ke dunia, sudah pasti mereka akan terus memilih untuk terus melakukan kemaksiatan atau kembali kepada kekufuran. Kita mungkin seorang Muslim, tetapi sekiranya kematian itu tiba kepada kita dan bekal ke akhirat itu tiada, kita mungkin sahaja memohon kepada Allah sepertimana yang dipohon oleh orang-orang kafir untuk kembali ke dunia mengerjakan amal soleh yang ditinggalkan.

Waktu itu kita sedar, permohonan seperti itu tidak akan Allah tunaikan. Bagi setiap individu Muslim, kita diberi masa sesuai dengan setiap individu tersebut untuk melakukan amal soleh kepada Allah swt.
Nabi saw bersabda; "Ada dua nikmat yang sentiasa dirugikan oleh kebanyakan manusia, iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang" (HR Bukhari dari Ibnu Abbas)
Sekarang sudah mula mengimpikan syurga?. Usaha menggapainya!.

0 comments:

Post a Comment